Monday, October 8, 2007

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Sudahlah tu. Cukuplah. Janganlah difikirkan sangat. Apa yang berlaku tu biarlah berlalu sahaja. Ambil ia sebagai iktibar. Kau yakin bukan, setiap yang berlaku, terselindung hikmah di sebaliknya. Dan kau masih yakin bukan, Allah itu Maha Adil dan Maha Baik. Dia tak akan menguji hambaNya dengan apa yang tidak mampu kau hadapi. Ingat itu baik-baik wahai diri. Ingat itu baik-baik. Ingat itu selalu.

Dunia selamanya begini. Kau tak akan dapat lari dari kenyataan. Kenyataan bahawa di atas dunia yang sementara ini kau akan ketemu dan dipertemukan dengan manusia pelbagai karenah pelbagai ragam. Kau selamanya tidak akan dapat lari dari itu semua. Terimalah ia sebagai satu ujian dan cabaran. Hendak atau tidak, kau kena hadapi semuanya. Semuanya kau faham? Jangan mengada-ngada hendak memilih apa yang kau mahu sahaja. Apa kau ingat dunia ini kau yang punya. Sedarlah wahai diri. Dia juga sepertimu. Dia juga hanya manusia biasa sepertimu jua. Tuhan tidak melihat dia dan kau sebagai makhluk yang berbeza. Melainkan Tuhan melihat apa yang ada di dalam hatinya dan di dalam hatimu. Apa kau mahu Tuhan melihat titik-titik hitam yang kian membentuk gumpalan besar dalam hatimu? Apa kau tidak malu begitu?

Kau kena ingat, Tuhan juga melihat dia sebagaimana Tuhan melihatmu. Dia juga tidak sesekali terlepas dari pandangan Tuhan. Jadi kenapa kau masih berkeluh-kesah begitu. Mengapa masih seolah-olah tidak yakin dengan Tuhan? Kenapa masih mahu marah-marah begini? Biar sahajalah jika dia mahu berpura-pura. Biar sahajalah dia dengan lakonannya. Biar sahajalah dia bermanis muka di hadapan manusia lainnya. Biarkan sahajalah. Kerana dia juga tidak terlepas dari pandangan Tuhan. Serahkanlah kepada Tuhan untuk mengadili semua ini. Kau sebagai manusia biasa, bersikap santunlah dengannya. Usahlah berdendam wahai diri. Usahlah begitu lagi. Terimalah dia seadanya. Kerana dia juga manusia biasa sepertimu.

Aku berdendam...? oh... tidak....

Terluka...?.... entahlah.... aku dah lelah nak memikir.