kalau langit tujuh tidak tinggi
Penat, kan, kau berlari selaju dan semahu hati, tapi kau masih tak tiba ke destinasi? Langit satu pun tak tercapai, langit tujuh apakan lagi. Hari-hari kau tunggu dan berharap agar biru yang ada di atas kepalamu itu runtuh selepas sebulan jerebu pergi, tapi itu semua takkan berlaku. Selagi Tuhan kata kiamat masih rahsia, ia akan tetap menjadi rahsia.
Penat juga, kan, apabila orang-orang di sekeliling menabur janji itu ini hanya singgah meninggalkan tahi, lepas kau diyakini bahawa mereka memang akan melakukan semua kononnya untuk membuat begitu begini? Maka, salahkah jika aku kata aku sudah tak percaya kepada semua?
Aku tahu aku tidak sekuat dulu, yang kini semakin rapuh menuju ambang usia tiga puluhan. Sudah lama, mungkin tidak sebegitu lama tapi aku rasa sudah sangat lama semua ini mendidik aku menjadi bukan diri sendiri. Semua, semua tidak kena. Semua telah lama tidak berada di tempat yang sepatutnya. Semuanya membuatkan aku rasa tidak gembira, hiba dan lara.
Agaknya aku harus mencari alasan. Alasan yang boleh buat aku bangun, keluar, dan hidup tersenyum. Bukan seperti memandang ke cermin, memerhati botol minyak wangi yang sudah tiga empat bulan menjadi kering.
Hujan di luar nampaknya semakin menggila. Sejuk udara, sama suhu dengan perasaan aku yang sedih dan kecewa. Aku tak suka malam aku digalungi duka, lalu aku ambil keputusan untuk tidur seberapa segera. Masa aku mula baring di katil dan mengadap gerobok baju, air mata sudah mula keluar satu persatu. Sebelum aku tarik selimut untuk tidur dan menyambung mimpi pahit,
Dan sekarang aku menangis. Bukan untuk orang lain tapi untuk diriku sendiri.
Aku sedih.
Aku merintih.
PEDIH!
Tolong aku! Tuhan, tolong aku!