cintaMu rimbunan kembang
yang kusentuhi
di hamparan luas
kulit telapak tanganku
dapat merasa Maha KelembutanMu
yang Kauhulurkan
pada jalanan kasar kehidupan
seperti sempurnanya kasih alam
terbuka jarak sempadan
inikah saatnya
Kausingkap tabirku
kutahu, Kau memandangku
dalam rahsia
lebih jauh dari syurgaMu
merapatlah
maut sedang mengujiku
akulah anasir yang Kaupisahkan
remuk di angin malam
seperti debu di jalanMu
masih kubawa
lentera yang asing ini
malam tak akan bererti
tanpa Kau
kemilau bintang tak akan bererti
tanpa Kau
dan semua jalan tak akan bererti
tanpa Kau
telah kupilih
tempat yang sunyi
ketika tiada seorang pun
ingin melihat Kau
dalam rumahMu
mereka padamkan lampu-lampu
mereka tutupkan semua jendela
mereka tutupkan semua pintu
mereka usirkan makna percintaan
terimalah lenteraku ini
kerana aku lebih mengenaliMu
dengan sumbu yang melahirkan cahaya rahmatMu
rumah bagiMu
bukanlah syurga tempat kesenangan
kalau terkunci di dalamnya
semua kebebasan
akan kuucapkan kata-kata yang diam
dan lihatlah
Kau telah hadir
dalam berbagai-bagaikan pekerjaan
di alam yang luas ini
tiada yang lebih bahagia
selain melihatMu
dalam sari kehidupanku
dan Kau melihatku
dalam kerjaMu yang abadi