SETELAH menunaikan solat Isyak aku keluar duduk di luar beranda ambil angin malam. Langit cerah. Bulan penuh. Kelihatan bintang-bintang memenuhi dada langit malam.
Sedikit resah gusar tetapi pelik aku rasa mengantuk yang teramat. Tidak lama aku duduk di luar. Terus masuk ke dalam bilik dan merebahkan badan di atas katil. Sebelumnya sempat aku pasang lampu tidur (suram).
Tiba-tiba aku tersentak. Ketika itu aku rasa seperti ada orang meletakkan tangan dia atas dada ku. "Siapa pula peluk aku ni? Kacau betul aku nak tidur," getus aku sendirian.
Aku cuba membuka mata untuk melihat siapa yang mengganggu . Tetapi semakin dicuba dirasakan mata aku semakin berat.
Tangan aku tidak boleh diangkat walaupun dicuba beberapa kali. Aku benar-benar ingin melihat siapa yang merangkul erat tubuh ini. Puas aku cuba membuka kelopak mata tetapi gagal, ia telah melekat kuat seperti digam.
Dalam keadaan mata terpejam rapat, aku meraba-raba tangan yang merayap di atas dada. Jari jemari aku merasai sesuatu seperti rambut, lembut dan halus bagai sutera. Dengan mata tertutup rapat, tangan aku melurut rambut yang mengurai itu.
"Eh! Panjangnya rambut ni, ada sedepa. Perempuan ke?" kata ku sambil tangan merayap ke atas semula.
Memikirkan seorang 'wanita' memeluk erat tubuh aku, aku tenggelam punca. Sebagai lelaki yang normal berbohong kalau aku katakan tiada perasaan seronok di peluk oleh seorang wanita sedemikian tetapi perasaan ingin tahu bercampur baur.
Tiba-tiba aku tersedar. Hati aku resah dan tertanya-tanya. Perasaan ingin tahu menggelodak. Tangan aku terus meraba-raba. Aku dapat merasakan seperti wajah manusia yang sempurna, halus dan licin. Tidak sekasar kulit muka seorang lelaki.
Tangan aku terus menjelajah pula ke wajah itu. Aku dapat merasakan objek seperti hidung yang mancung bak seludang. Juga mata, alis dan keningnya yang lebat. Pipinya halus dan gebu. Jari jemari aku terus menjalar ke bahagian bawah wajah itu, aku dapat merasakan seperti bibir manusia.
Dengan mata tertutup aku masih dapat membayangkan wajah 'wanita' itu. Sudah tentu dia seorang yang ayu dan menawan. Semakin lama perasaan ingin tahu siapakah yang berbaring di atas dadaku dan memeluk erat bertambah meluap-luap. Tangan aku mula turun ke bahagian bahu 'wanita' itu perlahan-lahan, kemudian sedikit ke bawah.
Tangan aku terhenti di situ. "Macam mana kalau dia benar-benar perempuan....?" kata ku dalam hati. Bagaimanapun perasaan aku semakin menggelodak. Dengan penuh hati-hati, tangan aku terus menjelajah di bahagian depan tubuh wanita berkenaan. Aku dapat merasakan sesuatu yang menonjol. Memang sah! Dada seorang perempuan.
Benar-benar perempuan. Tapi kenapa dia diam saja? Aku tertanya-tanya dalam hati.
Tangan aku meraba lagi, ke bahagian pinggang dan punggung. Aku cuba mencapai hingga ke bawah tetapi tidak berdaya kerana sebahagian badan telah dipeluk erat. Biarpun demikian, 'wanita' yang memeluk tubuh aku masih kaku, tidak bergerak seperti sedang tidur lena. Terlalu lena. Selepas gagal membuka mata dan melihat siapa yang merangkul tubuh ini, aku mengambil keputusan menyambung semula tidur.
"Biarlah, dia nak menumpang tidur aja. Esok dia hilanglah tu. Janji dia tak kacau aku sudah," kata ku dalam hati.
Esoknya ketika aku tersedar, tiada lagi pelukan erat.'Wanita' itu telah ghaib.
Mungkinkah apa yang berlaku hanyalah perasaan aku saja? Tetapi anehnya peristiwa itu tidak berlaku sekali, ia terjadi berulang-ulang. Benarlah sangkaan ku, 'dia' sekadar menumpang tidur!
Aku tidak mengendahkan kejadian berkenaan. Bagi aku semua yang berlaku adalah cubaan dan dugaan dalam hidup. Mungkin aku dan 'dia' berbeza tetapi kita semua adalah makhluk Allah.