Tuesday, August 28, 2007

Hatiku menitikkan darah dalam dada, kerana kutahu, bahawa kau hanya dapat bebas sepenuhnya, pabila kau dapat menyedari; bahawa keinginan untuk kebebasan pun, merupakan sebentuk belenggu jiwamu. Hanya jikalau kau pada akhirnya, berhenti bicara tentang Kebebasan, sebagai suatu tujuan dan sebuah hasil perbincangan, maka kau akan bebas, bila hari-hari tiada kosong dari beban fikiran, dan malam-malammu tiada sepi dari kekurangan dan kesedihan.

Dan bagaimana kau kan bangkit, mengatasi hari dan malammu, pabila kau tak mematahkan belenggu ikatan, yang di pagi pengalamanmu, telah engkau kaitkan pada ketinggian tengah harimu?

Sesungguhnyalah, apa yang kau namai Kebebasan, tak lain dari mata terkuat diantara mata rantai belenggumu, walau kilaunya gemerlap cemerlang disinar suria, serta menyilaukan pandang matamu. Dan sedarkah engkau, apa yang akan kau lepaskan itu?tiada lain adalah cebisan dari dirimu, jikalau kau hendak mencapai kebebasan yang kau rindu.

Bilamana ketakutan yang ingin kau hilangkan, maka perasaan ngeri itu bersarang dihatimu, bukannya berada pada dia yang kau takuti.

Sebenarnyalah, segalanya itu bergetar dalam diri, dalam rangkulan setengah terkatup, yang abadi; antara; yang kau inginkan dan yang kau takuti, yang memuakkan dan yang kau sanjung puji, yang kau kejar - kejar dan yang hendak kau tinggal pergi.

Kesemuanya itu hadir dalam dirimu selalu, bagaikan Sinar dan Bayangan, dalam pasangan - pasangan, yang lestari berpelukan. Dan pabila sang bayangan menjadi kabur, melenyap hilang, maka sinar yang tinggal, wujudlah bayangan baru, bagi sinar yang lain; demikianlah selalu.

Seperti itulah pekerti Kebebasan, pabila ia kehilangan pengikatnya yang lama, maka ia sendirilah menjadi pengikat baru, bagi Kebebasan yang lebih agung, sentiasa.

Bila engkau sedang bersukaria renunglah dalam-dalam ke lubuk hati disanalah nanti engkau dapati bahwa hanya yang pernah membuat derita berkemampuan memberimu bahagia Jika engkau berdukacita renunglah lagi, ke lubuk hati disanalah pula bakal kau temui bahawa sesungguhnya engkau sedang menangisi sesuatu yang pernah engkau syukuri.