Tuesday, August 28, 2007

assalamualaikum

Permulaan hari ini sedikit lain. Waktu aku celik mata, ada sesuatu yang menganggu aku. Aku pasti kenapa benda ini menganggu aku. Hanya kerana aku dan dia sudah lama tidak berkasih dan bermesra? Kenapa aku dan dia serasa semakin jauh dan menjauh…?

Lama sudah aku tidak sayang-sayang dia yang aku rindu ini. Seseorang yang menjadi sesuatu yang paling berharga dalam hidup. Sebetulnya aku pernah janjikan itu dalam hidup aku; bahawa dia akan ku anggap paling istimewa sepanjang hidup. Mungkin ya. tapi aku tak tahu kenapa, kebelakangan ini kami seperti; aku tak kenal kau, kau tak kenal aku...

Sewaktu mengenali dia lebih setahun yang dulu, hanya YANG SATU mengerti betapa aku gembira mendapatkan dia. Mendapatkan seseorang yang begitu luar biasa untuk diri aku. Keadaan terus semakin baik dan perhubungan itu makin 'menjadi'. Apalah lagi yang lebih membuatkan dunia aku lebih hebat selain memiliki dia. Dia yang merubah terlalu banyak perkara dalam hidup aku. Dia yang keterlaluan mempengaruhi kehidupan aku.

Tapi, apalah lagi agaknya yang aku belum lakukan untuk menjadikan hubungan ini sesuatu yang terus indah. Apalah agaknya yang aku belum lakukan supaya dia terus mahu mendekati aku. Apalah agaknya yang aku sudah lakukan pada dia sampai aku jadi jauh dan nampak begitu jauh sekarang.

Tapi aku selalu tanya diri aku, Apalah agaknya yang dia sudah lakukan sampai bikin aku begini? Ya, 'begini' maksudnya berterusan mahukan sesuatu yang aku tahu bukan milik aku. Apalah istimewanya dia hingga aku masih tetap mahu memujanya walaupun aku tahu sedang ada yang menunggu di sebelah aku untuk membawaku pergi. Lebih jauh dari yang aku jangkakan...

sampai nanti....